GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


KIT ujian antibodi melalui pengambilan sampel darah tidak boleh digunakan untuk mengesan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika kit ujian saringan itu memerlukan sampel darah, besar kemungkinan ia menggunakan kaedah serologi untuk mengukur tindak balas antibodi.

Jadi, katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengambil keputusan kit ujian antibodi tidak boleh digunakan untuk mengesan Covid-19.

“Jika antibodi Immunoglobulin M (IgM) tindak balasnya, mungkin mengambil masa antara lima hingga tujuh hari dan jika Immunoglobulin G (IgG), mungkin selepas tujuh hari (tindak balas) diperoleh, bergantung kepada individu,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan kit ujian itu boleh mengesan penyakit itu dengan ketepatan 99 peratus melalui pengambilan sampel darah yang tular media sosial

Dr Noor Hisham berkata, KKM ketika ini melakukan ujian saringan Covid-19 melalui ujian swab iaitu pengambilan sampel air liur dari mulut.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kakitangan KKM turut mengambil langkah keselamatan yang mana semua pesakit yang disaring termasuk mengalami radang paru-paru akan dianggap pesakit Covid-19.

“Selagi keputusan belum diterima mereka ini akan dianggap pesakit Covid-19 sebagai langkah keselamatan elak dijangkiti,” katanya.

Selain itu Dr Noor Hisham turut meminta pesakit yang dikuarantin supaya kekal di dalam bilik dan tidak berlegar-legar kerana dibimbangi boleh menjangkiti orang lain.

“Jika mereka merayau pada waktu malam kita tidak tahu, sebab itu penting untuk pesakit ini kekal di dalam bilik kuarantin supaya tidak menyebabkan orang lain dijangkiti.

“Mengenai isu ada pesakit yang tinggal berkumpulan sebenarnya mereka bukan tinggal bersama tetapi mempunyai bilik berasingan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh jika mereka ahli keluarga sudah tentu tidak akan dipisahkan sebaliknya diletakkan sekali dalam satu tempat kuarantin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 7:45 PM