GAMBAR hiasan. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
GAMBAR hiasan. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Roji Kawi


TIADA bazar Ramadan dan bazar Gawai Dayak di Sarawak tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg hari ini berkata, keputusan membatalkan dua bazar sempena perayaan utama itu dibuat sebagai langkah berterusan untuk memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19.

“Berikutan tempoh bazar Ramadan dan bazar Gawai Dayak berdekatan, kerajaan memutuskan untuk membatalkan kedua-duanya dan ini adalah kerana kita tidak mahu menjejaskan masyarakat keseluruhannya.

“Tahun ini kita tidak perlu bazar Ramadan, kalau umur panjang kita akan menyaksikan semula bazar Ramadan dan bazar Gawai Dayak pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan penghantaran bekalan makanan ke kawasan pedalaman, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, bagi memastikan kemeriahan sambutan itu terus dirasai, orang ramai digalakkan berjual beli menggunakan teknologi menerusi e-bazar.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan kemudahan untuk peniaga mempelajari penggunaan teknologi itu untuk memastikan mereka boleh terus menjalankan perniagaan.

“Jika peniaga tidak mahir dengan penggunaan teknologi, mereka boleh mempelajarinya kerana kemudahan pembelajaran itu disediakan oleh Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) di semua bandar utama.

“Biasanya bazar Ramadan atau bazar Gawai itu diadakan di bandar atau di pinggir bandar, sebab itu ia sesuai untuk diteruskan dengan penggunaan e-bazar dalam situasi seperti ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 2:26 PM