Nur Izzati Mohamad


“JIKA Mama dan Papa tiada nanti, kakak yang bertanggungjawab jaga adik-adik, pastikan semua kena pergi sekolah dan jangan ponteng,” begitu pesanan Zuriana Hasan, 35, kepada anak sulungnya, Nur Afni Nirwani Khairizul, 16.

Zuriana menghembuskan nafas terakhir pada 1 pagi tadi selepas dua bulan bertarung nyawa apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya bersama suaminya, Khairizul Mohamad Noor, 38.

Dalam kejadian 9 Februari lalu, Khairizul meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar pemandu dipercayai mabuk pada 5 pagi di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala utara dekat susur ke Perai.

Kini, Nur Afni Nirwani serta adik-adiknya, Nur Istana Nadira.14; Nur Erna Nabila,12; Nur Qurratul Ain,7; dan Muhammad Khairi Zafran, 2, bergelar yatim piatu selepas kematian kedua ibu bapa mereka.

Nur Afni Nirwani berkata, beberapa hari lalu dia merasakan keadaan ibunya bertambah baik apabila mampu menggerakkan jari dan membuka mata.

“Saya panggil mama dan mama buka matanya sambil menggerakkan jarinya yang saya fikir mama akan kembali pulih, tetapi semalam mama sudah tidak sedarkan diri ketika saya pergi melawatnya.

“Tidak lama kemudian, kami mendapat panggilan memaklumkan mama sudah pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Bagan Jermal di Butterworth, hari ini.

NUR Afni Nirwani Khairizul,16. FOTO Nur Izzati Mohamad
NUR Afni Nirwani Khairizul,16. FOTO Nur Izzati Mohamad

Katanya, sebelum kemalangan berlaku hingga mengorbankan nyawa ibu bapanya, dia sering mendapat pesanan supaya menjaga adik-beradik dan tidak sesekali berpisah walau apa cara sekalipun.

“Mama pesan jika dia dan papa tiada, saya kena tengokkan adik-adik dan jangan berpisah. Banyak kali mama pesan dan beri nasihat yang saya akan laksanakannya.

“Pada masa sama, saya berharap orang yang melanggar mama dan papa hingga menyebabkan kematian mereka mendapat hukuman setimpal mengikut undang-undang,” katanya.

Katanya, dia bersama adik-adiknya kini tinggal bersama datuk, Hassan Ismail, 67, dan nenek, Asmalaili Mohd, 59.

Sementara itu, Hassan berkata, dia sering menasihati cucu-cucunya supaya reda dengan apa yang akan berlaku pada masa akan datang.

“Setiap hari terutamanya Qurratul Ain selalu tanya bila mama mereka akan balik, tetapi saya kata mama nak balik ikut papa, jadi semua kena kuat.

“Ini kerana, doktor sudah memaklumkan kepada saya bahawa anak saya sudah tidak ada harapan untuk sembuh dan meminta kami sekeluarga bersiap sedia dengan segala kemungkinan.

“Jadi selain berdoa, saya meminta cucu-cucu reda dengan ujian diberikan yang mana saya akan jaga mereka selagi kudrat masih ada,” katanya.

SUASANA ketika jenazah Zuriana Hasan,35 tiba untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan, Jermal, Butterworth. FOTO Nur Izzati Mohamad
SUASANA ketika jenazah Zuriana Hasan,35 tiba untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan, Jermal, Butterworth. FOTO Nur Izzati Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 2:54 PM