MOHD Syabuddin (tengah) menyampaikan sumbangan makanan kepada golongan asnaf di PPR Gua Musang, pagi ini. FOTO Ramli Ibrahim
MOHD Syabuddin (tengah) menyampaikan sumbangan makanan kepada golongan asnaf di PPR Gua Musang, pagi ini. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


PENGHUNI Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Gua Musang yang berdepan masalah kekurangan makanan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) menerima bantuan hari ini.

Kesemua 511 keluarga yang tinggal di PPR Jalan Persiaran Raya itu menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf (PEKA) Gua Musang.

Pengerusi PEKA Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pengagihan makanan itu bagi meringankan beban penduduk yang terjejas sepanjang tempoh PKP.

Menurutnya, kebanyakan penghuni PPR itu terdiri daripada golongan asnaf dan bekerja sendiri mempunyai pendapatan terhad.

Katanya, sejak pelaksanaan PKP penularan Covid-19 bermula 18 Mac lalu, pihaknya menerima banyak aduan berhubung mereka yang hampir habis makanan.

“Hari ini, kita memberi fokus mengagihkan bantuan kepada penghuni PPR dahulu sebelum masuk di setiap kampung.

“Ia hanya membabitkan kawasan Dewan Undang Negeri (Dun) Galas,” katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan itu pagi ini.

Mohd Syahbuddin juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas berkata, penduduk di seluruh Parlimen Gua Musang yang terjejas PKP juga tidak perlu bimbangkan kerana banyak lagi sumbangan nanti.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh juga akan turut menghulurkan sumbangan makanan dalam masa terdekat ini.

“Apa yang perlu kita ingatkan supaya penduduk perlu akur dengan arahan PKP dan berada dalam rumah masing-masing.

“Jika ada yang ingkar arahan itu, kita bimbang penularan wabak penyakit terbabit tidak dapat ditangani dengan sebaik mungkin dan kemungkinan PKP dilanjutkan lagi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 3:02 PM