LOKASI wanita warga emas maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di Jalan Kampung Sungai Siput, Lubok Cina dekat Alor Gajah. FOTO ihsan PDRM
LOKASI wanita warga emas maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di Jalan Kampung Sungai Siput, Lubok Cina dekat Alor Gajah. FOTO ihsan PDRM


SEORANG wanita warga emas maut dirempuh kereta ketika melintas jalan untuk membeli sarapan di Jalan Kampung Sungai Siput, Lubok Cina, Alor Gajah pagi ini.

Dalam kejadian 8.25 pagi itu, Merah Mohd, 81, meninggal dunia selepas dilanggar kereta Proton Persona dipandu jururawat wanita berusia 33 tahun ketika mangsa melintas jalan di selekoh berkenaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian pemandu terbabit dalam perjalanan dari arah pekan Lubok Cina ke Kampung Brisu, iaitu tiga kilometer (km) dari tempat kejadian.

“Ketika melalui selekoh itu, pemandu terbabit mendakwa mangsa secara tiba-tiba melintas jalan dan mengakibatkan beliau tidak sempat memberhentikan kenderaan lalu terlanggar mangsa.

“Akibatnya, mangsa tercampak ke bahu kiri jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, cuaca ketika kejadian baik dan punca kejadian dipercayai akibat kecuaian ketika melintas jalan.

Difahamkan, mangsa tinggal bersama dua cucu perempuan, masing-masing berusia awal 20-an yang dipeliharanya sejak kecil di Kampung Serban Hijau, Sungai Siput.

Mangsa dikatakan jarang keluar rumah kerana sudah uzur dan ketika kejadian, arwah dipercayai ingin ke kedai di seberang jalan untuk membeli sarapan.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 4:15 PM