IZANI memohon bantuan daripada kerajaan berikutan pendapatan pengusaha bas sekolah terjejas teruk sejak PKP dilaksanakan. FOTO IHSAN Izani Zakaria
IZANI memohon bantuan daripada kerajaan berikutan pendapatan pengusaha bas sekolah terjejas teruk sejak PKP dilaksanakan. FOTO IHSAN Izani Zakaria
Nor Fazlina Abdul Rahim


LEBIH 100 pengusaha bas sekolah di Kelantan memohon bantuan daripada kerajaan, sebagaimana yang diterima pemandu teksi dan e-hailing.

Timbalan Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Kelantan Izani Zakaria berkata, ia berikutan pengusaha dan pemandu bas turut terkesan kerana perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kebanyakan pengusaha dan pemandu bas sekolah bukannya orang senang. Mereka hanya ada sebuah bas sekolah dan hanya bergantung kepada pendapatan mengangkut pelajar sekolah sahaja.

“Selepas PKP dilaksanakan, mereka sudah tiada punca pendapatan untuk membeli barang keperluan seperti makanan dan sebagainya.

“Saya merayu kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar dapat memberi bantuan kepada kami seperti yang diberikan kepada pemandu teksi dan e-hailing,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Bharu hari ini.

Menurutnya, kebanyakan pemandu bas memang menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tetapi pengusaha bas tidak layak sedangkan mereka terjejas teruk.

“Kebanyakan pengusaha yang terkesan dengan PKP ini ialah di sekitar kawasan pedalaman dan bandar di Kelantan, Terengganu, Pahang dan lain-lain.

“Sehubungan itu, kami merayu agar pertimbangan bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan kepada penguhasa dan pemandu bas sekolah yang turut terjejas pendapatannya sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 4:15 PM