ZAINAL Abidin (dua kanan) ketika melawat di Pusat Jualan Barangan Segar Terkawal di Perkarangan Pejabat FAMA Pahang. FOTO Mohd Rafi Mamat
ZAINAL Abidin (dua kanan) ketika melawat di Pusat Jualan Barangan Segar Terkawal di Perkarangan Pejabat FAMA Pahang. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang akan menambah 10 lagi penghantar barangan menggunakan motosikal dan pacuan empat roda bagi menampung permintaan pelanggan di sekitar Kuantan yang semakin bertambah sejak fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Razalli berkata, pertambahan pembelian secara pesanan atau tunai semasa penghantaran (COD) secara mendadak memerlukan khidmat penghantar yang lebih ramai dan cekap bagi menjalankan tugas menghantar sayur, buah dan barangan kawalan.

Menurutnya, bagi memenuhi permintaan pengguna yang kini mencapai hingga 1,000 pesanan sehari, usaha menambah penghantar barangan yang menggunakan motosikal dan kenderaan pacuan empat perlu dilakukan secepat mungkin bagi mengelak perasaan tidak puas hati pelanggan.

“Saya dapati belian secara dalam talian atau pesanan menggunakan aplikasi WhatsApp yang dikendalikan FAMA Pahang merupakan yang tertinggi seluruh negara, di Ibu Pejabat FAMA Putrajaya kita hanya menerima antara 400 hingga 500 pesanan sehari.

“Pesanan yang banyak tidak akan bermakna sekiranya proses penghantaran tidak dapat dilakukan mengikut jadual selain terpaksa menunggu terlalu lama untuk pelanggan menerima barangan yang di pesan.

“Bagi pesanan sayur dan buah segar pelanggan hanya perlu menunggu sehari sahaja bagi mengelak produk berkenaan rosak berbanding barangan kawalan yang boleh mengambil masa hingga tiga hari,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan aktiviti jualan di Pusat Jualan Barangan Segar Terkawal di pekarangan Pejabat FAMA Pahang di Kuantan hari ini.

Hadir sama Ketua Unit Kontrak Pemasaran FAMA Pahang Razi Ruslam dan Pegawai Komunikasi Korporat FAMA Pahang Rosli Zakaria.

Beliau berkata, bagi melancarkan proses belian secara dalam talian FAMA Pahang juga perlu mengambil beberapa pekerja sambilan yang bertugas untuk membungkus sayur, buah dan barangan kawalan supaya aktiviti penghantaran dapat berjalan lancar dan berkesan.

Zainal Abidin menambah, kemampuan FAMA Pahang menjalankan aktiviti jualan sepanjang program jualan di Pusat Jualan Barangan Segar Terkawal secara berkesan sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu memberi keselesaan kepada pengguna yang datang sejak 8 pagi hingga 5 petang.

“Saya lihat walaupun pengguna ramai datang namun tidak berlaku banyak masalah, semua garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti jarak sosial, pemeriksaan suhu badan dan menyediakan pencuci tangan dilakukan.

“Saya berharap masyarakat setempat tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan bekalan sayur dan buah segar terus dari ladang pada harga lima hingga 20 peratus lebih rendah,” katanya yang berharap pengguna berpuas hati dengan usaha yang dilakukan FAMA Pahang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 5:24 PM