HASNI MOHAMMAD 
HASNI MOHAMMAD 

KERAJAAN negeri memerlukan kerjasama Singapura bagi menguruskan kepulangan rakyat Malaysia secara berperingkat susulan keputusan republik itu untuk menutup sekolah dan kebanyakan tempat kerja selama sebulan.

Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, terdapat 300,000 pekerja Malaysia yang bekerja di republik itu dan difahamkan terdapat hampir 45,000 yang masih berada di sana dan mahu pulang.

Katanya, sekiranya Singapura dapat menguruskan kepulangan rakyat Malaysia secara berperingkat, ia akan membantu untuk menguruskan pusat kuarantin di negeri ini.

“Sekiranya Singapura memberikan kerjasama membenarkan 1,000 atau 2,000 rakyat Malaysia pulang sehari, maka kita akan dapat uruskan pusat kuarantin yang perlu untuk mereka disahkan positif.

“Manakala bagi yang negatif, kita perlu kuarantin mereka di rumah selepas membuat saringan kesihatan di pintu masuk,” katanya ketika sesi temubual bersama Johorfm di sini, hari ini.

Menurut Hasni, lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua sangat penting kepada negeri ini bagi melihat semula pelan dan strategik untuk tangani isu penularan ini.

Katanya, situasi di Johor sangat berbeza kerana berdekatan dengan Singapura dan ramai rakyat negara ini bekerja di republik itu.

“Saya percaya apabila kerajaan Singapura melaksanakan langkah ketat itu bermula 7 April ini, kita jangka akan lebih ramai pekerja kita yang berada di Singapura akan pulang.

“Malah dimaklumkan Indonesia juga akan membuat tindakan sama dan ramai rakyat kita di sana yang akan pulang.

“Kita ada dua laluan darat iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Kita ada jalan laut ada empat jeti yang masih dibuka kerana kita masih ada warga Indonesia yang ingin pulang iaitu Jeti Pendaratan Antarabangsa Pasir Gudang Terminal Jeti Antarabangsa Puteri Harbour, Stulang Laut dan Kukup,” katanya.

Katanya, adalah satu cabaran bagi negeri ini untuk mengendalikan rakyat Malaysia yang mahu pulang dari Singapura dan Indonesia ketika wabak Covid-19.

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 5:36 PM