MOHD Fairus bersama harumanis yang dijualnya melalui secara atas talian dan Facebook. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
MOHD Fairus bersama harumanis yang dijualnya melalui secara atas talian dan Facebook. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

 

BUAH mangga harumanis masih mendapat permintaan pelanggan terutama menerusi jualan atas talian walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan.

Pengusaha sambilan, Mohd Fairus Abdul Razak, 35, berkata dia menjual buah terbabit secara atas talian kerana ia adalah medium jualan terbaik sepanjang tempoh PKP ini bagi mengekang penularan Covid-19 ini.

“Tidak dinafikan saya menerima banyak pembatalan tempahan kerana pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu.

“Tetapi sebilangan besar pelanggan kembali menghubungi saya selepas seminggu untuk bertanya sama ada tempahan dibuka semula.

“Jadi sejak dari itu boleh dikatakan rezeki tetap ada dan tempahan secara atas talian memudahkan pelanggan kerana tidak perlu keluar rumah,” katanya yang memasarkan harumanisnya itu melalui Facebook.

Pengusaha lain Mohd Nasir Salim, 29, berkata buah mangga harumanis mendapat permintaan menggalakkan khususnya daripada pelanggan luar dari Perlis.

Menurutnya, buah berkenaan boleh ditempah secara atas talian, tetapi ada pengusaha berusia tidak mahir menggunakan medium berkenaan.

“Mujur ada agensi seperti FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) yang membantu membeli buah mereka secara borong untuk dijualkan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Nurulhisham Yaakob berkata, pihaknya mengambil persediaan awal jika berlaku situasi luar jangkaan seperti lambakan.

“Kita memang menggalakkan pengusaha menjualnya secara atas talian tambahan pula sekarang negara menghadapi PKP.

“Selain itu, FAMA dan Jabatan Pertanian negeri akan membantu dengan membeli kesemua bekalan mangga harumanis mereka untuk jualan,” katanya.

Ketika ini, harga harumanis bermula RM25 hingga RM37 setiap kilogram mengikut gred dan musimnya bermula antara Mac hingga April setiap tahun.

 

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 5:46 PM