BANJIR kilat di Jalan Permatang Kempas, Johor Bahru. FOTO Ihsan JBPM
BANJIR kilat di Jalan Permatang Kempas, Johor Bahru. FOTO Ihsan JBPM
Nurul Amanina Suhaini


SERAMAI 35 mangsa daripada lima keluarga di Jalan Permatang Kempas, di Johor Bahru, ditimpa malang berganda apabila rumah mereka dimasuki air disebabkan banjir kilat, petang tadi.

Hujan lebat sejak 3.30 petang tadi menyebabkan air naik hingga ke paras peha menyebabkan kediaman yang menjadi tempat berlindung sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) terjejas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Larkin Timbalan Penguasa Bomba 1 Mohd Suhaimi Jamal berkata, sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.10 petang sebelum menggerakkan sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota ke lokasi kejadian.

“Sehingga kini, mangsa yang dikenal pasti adalah seramai 35 orang terdiri daripada 14 kanak-kanak, warga emas, 21 lelaki dan wanita serta seorang bayi.

“Segelintir mangsa sudah dipindahkan ke Dewan Utama Permatang Kempas. Sehingga kini, operasi masih lagi dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 7:30 PM