KEBANYAKAN majikan dari syarikat besar akan menyediakan tempat tinggal bagi pekerja Malaysia yang terbabit dalam sektor perkhidmatan penting sepanjang tempoh langkah ketat mengekang peningkatan jangkitan Covid-19 di Singapura Selasa ini.

Pekerja pembersihan sebuah hospital di Singapura, Siti Nur Amalina Omar, 34 berkata, majikannya menyediakan hotel sebagai tempat tinggal sejak Malaysia mengumumkan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu.

Malah katanya, majikan juga memberikan wang saku kepada semua pekerja terbabit bagi perbelanjaan tambang dan makanan.

“Sebenarnya bergantung kepada majikan dan kebiasaannya kalau syarikat besar, mereka akan sedia tempat tinggal.

“Macam majikan saya, kami semua pekerja ditempatkan di sebuah hotel dan diberikan wang saku Dollar Singapura 130 dalam tempoh dua minggu bagi perbelanjaan tambang dan makanan.

“Untuk sepanjang PKP di sini juga sama, khidmat kami antara yang diperlukan. Wang saku juga kami terima menerusi transaksi akaun,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, bagi Jurutera Pembuatan, Muhamad Fahmi Alias, 26, majikannya juga menyediakan tempat tinggal sepanjang tempoh sebulan.

Katanya, mungkin ramai yang akan pulang itu adalah mereka yang bekerja dalam sektor lain.

“Kalau mereka tinggal di sini tanpa pekerjaan dan tempat tinggal, ia adalah sesuatu yang sangat sukar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 7:32 PM