DR MOHD Daud (kanan) menyerahkan sumbangan peralatan asas ICU hasil usaha ANSARA-MRA kepada Hospital Selayang.
DR MOHD Daud (kanan) menyerahkan sumbangan peralatan asas ICU hasil usaha ANSARA-MRA kepada Hospital Selayang.
Suraya Roslan

 

BADAN bukan kerajaan kemanusiaan, Malaysian Relief Agency (MRA) yang diberi kebenaran bertugas khas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mengagihkan sumbangan berjumlah RM1.5 juta berbentuk bantuan perubatan dan barangan keperluan kepada golongan asnaf.

Presidennya Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, agihan itu digerakkan ke seluruh negara melalui 10 cawangan MRA negeri.

“Bantuan ini dibahagikan kepada dua kumpulan sasaran iaitu bantuan perubatan khususnya kepada klinik, hospital dan kumpulan petugas perubatan yang menjadi barisan hadapan dan yang kedua kepada golongan asnaf sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagi melindungi keselamatan petugas perubatan supaya dapat melaksanakan tugas dengan berkesan, MRA menyumbang 115,950 penutup muka dan hidung, 12,320 pelindung muka, 1,630 sut pakaian Alat Keselamatan Diri, 1,400 penutup kepala, 140 liter cecair disinfektan dan 15 unit pengesan suhu kepada klinik dan hospital yang memerlukan.

“MRA juga menyediakan 11,123 pek sarapan pagi dan tengah hari kepada petugas manakala 1,540 pek makanan tenaga bagi keperluan mereka sepanjang PKP.

“Bantuan ini bertujuan untuk mengurangkan bebanan tugas di samping mendatangkan keceriaan kepada barisan hadapan kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, inisiatif kerjasama MRA dan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA menyumbang alatan perubatan iaitu dua alat monitor pesakit dan dua mesin pam infusi bernilai RM37,600 kepada Unit Rawatan Rapi, Hospital Selayang, semalam.

“Selain itu, MRA melahirkan rasa sedih atas penderitaan golongan asnaf yang terputus bekalan makanan sepanjang PKP dilaksanakan dan atas dasar keprihatinan yang tinggi, satu skuad khas ditubuhkan untuk menyantuni golongan ini.

“Sejumlah 5,000 pek makanan asasi dan 140 set keperluan bayi seperti susu formula dan lampin pakai buang bernilai RM310,000 diedarkan ke seluruh negara dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dan daerah.

“Nilai ini bertambah dari semasa ke semasa kerana permintaan tinggi daripada golongan asnaf,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 7:50 PM