Pemeriksaan harian dilakukan pegawai dan anggota Penguatkuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pemeriksaan harian dilakukan pegawai dan anggota Penguatkuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

MEREKA bukanlah ‘wira’ barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid-19, namun anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempunyai peranan berbeza dalam membantu rakyat menangani kemelut ini. 

Difahamkan pegawai penguatkuasa KPDNHEP bertugas setiap hari memastikan bekalan makanan dan barang keperluan asas mencukupi manakala harga barangan di pasaran tidak dinaikkan sesuka hati oleh peniaga tamak.

Peranan Pegawai Pemantau Harga (PPH) WPKL dalam mendapatkan data harga barangan tertentu di beberapa premis terpilih di setiap kawasan parlimen turut membantu dalam memantau trend harga barangan di pasaran seluruh Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Azeem Nazuri berkata, pihaknya tetap bertugas setiap hari walaupun dalam tempoh PKP untuk membuat pemeriksaan dalam memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi bukan sahaja di peringkat peruncit, tetapi juga di peringkat pemborong.  

Menurutnya, pengguna dinasihatkan tidak membuat pembelian panik, mengamalkan 'social distancing' dan sentiasa mengikut arahan serta nasihat ditetapkan oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. 

“Pemeriksaan khas bekalan keperluan asas dilakukan KPDNHEP membabitkan gula, minyak masak dan tepung gandum, ayam, ikan, beras, biskut, telur dan sayur-sayuran.

“Malah makanan dalam tin, air mineral, mi segera dan ubat paracetamol adalah antara barangan yang kami pantau secara harian bagi memastikan pengguna tidak terputus bekalan keperluan asas ini,” katanya. 

Menurutnya, pemantauan dilakukan melalui kaedah melakukan pemeriksaan ke premis-premis perniagaan bagi memeriksan bekalan stok yang berada di rak pameran serta di dalam stor simpanan.

Selain itu, kerjasama dan komunikasi dengan pihak pemborong dan hypermarket juga memainkan peranan dalam mendapatkan maklumat tepat dan terkini tentang kedudukan bekalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 11:36 PM