Sri Ayu Kartika Amri


“SYUKUR saya layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN), saya akan guna duit ini nanti untuk membeli keperluan harian,” kata Salamah Saarani, 57, penerima BPN di bawah kategori B40.

Dia yang ditemui di Bank Simpanan Nasional (BSN) Sri Gombak, hari ini, berkata, bantuan sebanyak RM800 itu sangat bermakna buatnya bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas kehilangan suami tiga tahun lalu dan tidak mempunyai zuriat.

“Saya semak di bank tadi sama ada layak menerima bantuan dan dimaklumkan wang BPN akan diterima dua hari lagi. Alhamdulillah, terima kasih kepada kerajaan,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati orang ramai mula beratur seawal pagi menunggu giliran untuk menyemak status BPN mereka berikutan tersenarai sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Kelmarin, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pembayaran BPN mula diagihkan bermula 6 hingga 15 April ini mengikut kategori penerima.

Pembayaran untuk kategori B40 akan bermula 6 hingga 12 April manakala penerima kategori M40 akan menerima BPN bermula 13 hingga 15 April ini.

Pekerja swasta, Parameswari Subramaniam, 49, berkata, dia yang juga penerima BSH datang ke BSN untuk menyemak statusnya.

“Saya tidak bekerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban untuk beli barang dapur,” katanya.

Seorang lagi penerima, Yudi Anugrah Mukti Zulifah, 30, turut melahirkan kesyukuran menerima BPN.

“Saya tak dapat bekerja (pemandu lori) sepanjang tempoh PKP.

“Wang BPN ini akan saya gunakan untuk menampung perbelanjaan isteri yang sarat mengandung dan dijangka bersalin 14 April ini,” katanya yang berterima kasih kepada kerajaan kerana begitu prihatin dengan nasib golongan B40.

Pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion untuk disalurkan kepada semua sektor awam dan swasta yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 3:54 PM