GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Izzaati Mohamad


UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) mengikuti perkembangan semasa pelajarnya yang mengikuti Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE di Belgaum, India sejak penularan pandemik wabak Covid-19.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, USM melalui Bilik Gerakan COVID-19 (Nerve Centre) memantau keadaan mereka terutama dari segi aspek kesihatan, kebajikan dan keselamatan di semua kampus termasuk kampus pesisir ‘Karnataka Lingayat Education’.

Menurutnya, pihaknya mengakui ada desakan untuk membawa pulang pelajar dari India, namun perkara itu tertakluk kepada arahan dan saranan Wisma Putra.

Katanya, USM juga berhubung terus dengan wakil-wakil pelajar di KLE untuk mengetahui keadaan semasa dan keperluan mereka.

“Pihak USM turut berkomunikasi dengan agensi lain berkaitan termasuk Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA), pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai dan Chennai serta Education Malaysia (EM) untuk menjamin kesejahteraan pelajar.

“Kita juga sedang menyiapkan pasukan khas untuk diterbangkan ke India sebaik sahaja tamat perintah berkurung, jika dibenarkan pihak berkuasa negara itu untuk memasuki India atau melalui kaedah lain,” katanya.

Katanya, ibu bapa pelajar terbabit diharapkan dapat memberi kepercayaan dan sokongan kepada USM bagi menempuhi situasi yang tidak dijangka ini.

Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima aduan daripada ibu bapa pelajar perubatan USM di India apabila mendesak anak-anak mereka dibawa pulang ke Malaysia kerana keadaan kurang selamat selain kebajikan terabai.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 4:05 PM