BELIA dan AJK Masjid Ar-Ridzuan, Kampung Bestari Jaya, melakukan semburan nyahkuman. FOTO IHSAN PEMBACA
BELIA dan AJK Masjid Ar-Ridzuan, Kampung Bestari Jaya, melakukan semburan nyahkuman. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin


PENGURUSAN Masjid Ar-Ridzuan, Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor melakukan kerja pembersihan dan semburan nyah kuman sebagai langkah mencegah penularan wabak Covid-19, semalam.

Timbalan Nazir Masjid, Abdul Kader Laludin berkata, seramai 10 belia dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid menjalankan operasi pembersihan luar dan dalam masjid yang mengambil masa dua jam.

Beliau berkata, operasi dilakukan susulan kawasan masjid sebelum ini menjadi tumpuan awam dilihat berisiko tinggi menjadi penyebaran wabak itu.

“Semburan dilakukan di beberapa bahagian dalam masjid seperti permaidani, dinding, paip air dan tandas selain kawasan luar masjid seperti papan tanda serta tempat parkir bagi memastikan bebas kuman.

“Malah, kami turut memastikan pintu dan tingkap masjid dibuka ketika pembersihan bagi melancarkan aliran udara,” katanya.

Sementara itu, sekumpulan sukarelawan melakukan semburan nyah kuman di Kampung Blok B / I, Sawah Sempadan, Tanjong Karang, semalam bagi mengelak penularan wabak itu.

Sukarelawan, Maruwan Ahmad berkata, penduduk dilihat mengambil langkah berjaga-jaga selain cakna dengan keadaan sekeliling.

“Inisiatif dilakukan sebagai langkah pencegahan berikutan ada orang luar yang keluar dan masuk ke kampung ini.

“Untuk itu, usaha semburan nyah kuman dijalankan bagi membantu kerajaan khususnya petugas baris hadapan negara dalam menangani wabak ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 4:29 PM