RESTORAN mi kolok Haji Saleh, Kuching. FOTO Ihsan pembaca
RESTORAN mi kolok Haji Saleh, Kuching. FOTO Ihsan pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi

JIKA Perutusan Khas terdahulu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memetik nama Mak Cik Kiah, hari ini, beliau menyebut tiga nama pengusaha PKS iaitu Lee Beauty Saloon, Restoran Mi Kolok Haji Salleh dan Syarikat Surjit Kaur Sdn Bhd.

Menurutnya, beliau berbuat demikian bagi membantu pengusaha PKS memahami inisiatif-inisiatif yang diumumkannya.

“Saya ingin memberikan beberapa contoh mudah. Contoh pertama ialah Lee Beauty Saloon, sebuah PKS mikro yang terbabit dalam sektor perniagaan dandanan rambut. Saloon ini mempunyai dua pekerja tempatan yang semuanya bergaji kurang RM4,000. Pemilik saloon ini, Madam Lee ingin merancakkan semula perniagaannya selepas tamat tempoh PKP.

“Dengan pelaksanaan semua bantuan yang diumumkan Kerajaan, Madam Lee boleh mendapat manfaat subsidi upah tiga bulan berjumlah RM7,200 dan geran mikro sebanyak RM3,000. Keseluruhan manfaat diterima Madam Lee ialah sebanyak RM10,200.

“Contoh kedua pula ialah Restoran Mi Kolok Haji Salleh di Kuching Sarawak. Katakan restoran ini mempunyai lima pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah dan dua pekerja asing. Untuk menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, pemilik restoran ini boleh mendapatkan pinjaman kredit mikro BSN sebanyak RM50,000 dan subsidi upah untuk lima pekerja berjumlah RM18,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pemilik restoran berkenaan juga boleh menikmati penjimatan daripada pengecualian sumbangan KWSP dan HRDF sebanyak RM8,400, penangguhan cukai berjumlah RM5,200, diskaun levi pekerja asing sebanyak RM2,300 dan diskaun bil elektrik sebanyak RM300.

“Keseluruhan manfaat boleh diterima, tidak termasuk pinjaman kredit mikro ialah sebanyak RM34,200 untuk tempoh tiga bulan.

Beliau berkata, contoh terakhir ialah Syarikat Surjit Kaur Sdn. Bhd iaitu sebuah syarikat bersaiz kecil dalam sektor perkilangan perabot dengan 15 pekerja.

“Lima pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah, 10 pekerja asing dan selebihnya pekerja tempatan bergaji lebih RM4,000. Bagi memastikan syarikat dapat menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, syarikat boleh mendapatkan pinjaman Special Relief Facility (SRF) sebanyak RM500,000 dan subsidi upah berjumlah RM18,000.

“Selain itu, syarikat juga menikmati penjimatan melalui pengecualian sumbangan KWSP dan HRDF sebanyak RM8,400, diskaun levi pekerja asing sebanyak RM4,600, tangguhan cukai PKP Mikro sebanyak RM32,700 dan diskaun bil elektrik sebanyak RM100. Keseluruhan manfaat yang diperolehi syarikat ini, tidak termasuk pinjaman SRF, ialah sebanyak RM63,800,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 5:06 PM