Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim
Baharom Bakar

 

BANTUAN barangan keperluan asas oleh kerajaan tidak akan dihentikan walaupun sudah meluluskan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim menjelaskan, bantuan barangan keperluan asas kepada rakyat yang terkesan berikutan pengisytiharan perintah kawalan pergerakan (PKP) akan diteruskan sehingga tempoh larangan itu ditamatkan.

Menurutnya, bantuan barangan keperluan asas tidak ada kaitan dengan BPN seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kerajaan tidak pernah mengumumkan untuk menamatkan bantuan barangan keperluan asas, sebaliknya bantuan itu akan diteruskan sehingga tempoh PKP ditamatkan.

“Kehidupan, keselamatan serta nyawa rakyat tidak akan diperjudikan dan langkah kerajaan sedang giat dilakukan adalah memastikan penyaluran bantuan berterusan, ” katanya ketika majlis penyerahan barangan keperluan asas kepada Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Kuala Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

Barangan keperluan asas termasuk beras, tepung gandum, minyak masak dan gula itu diagihkan kepada 1,000 penduduk yang terkesan di kawasan berkenaan berikutan penguatkuasaan PKP dibiayai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu kecewa apabila ada pihak cuba menangguk di air keruh dengan menghasut rakyat supaya mempertikaikan segala usaha murni dan keprihatinan kerajaan.

Menurutnya, ada antara individu tertentu menghasut rakyat bahawa bantuan barangan keperluan asas akan dihentikan jika mereka menerima BPN.

“Kerajaan akan berusaha untuk memulihkan ekonomi negara selepas pandemik Covid-19 selesai tetapi kehidupan, keselamatan dan nyawa rakyat tidak akan diperjudikan hanya kerana ingin mengekalkan rizab negara,” katanya.

Ahmad Amzad menyeru individu dan pimpinan politik supaya bersama kerajaan memperkukuhkan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya menggesa pihak pihak tertentu agar menghentikan segera amalan politik hasutan, fitnah, adu domba dan permainan persepsi sehingga boleh memecah belahkan kesatuan rakyat yang sedang berhadapan dengan ujian besar kepada negara seperti Covid-19,” katanya.

 

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

     

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 5:07 PM