Fitriani (kiri) dan Nurul berbincang dengan Amran di, Lubok Cina. FOTO HASSAN OMAR
Fitriani (kiri) dan Nurul berbincang dengan Amran di, Lubok Cina. FOTO HASSAN OMAR


“KAMU hendak makan apa?” Itulah kalimat terakhir seorang nenek kepada dua cucunya sebelum pergi untuk selama-lamanya akibat dirempuh kereta di Jalan Kampung Sungai Siput, Lubok Cina, Alor Gajah, pagi semalam.

Soalan itu diajukan Allahyarhamah Merah Mohd, 81, kepada Fitriani Hairuman, 21, dan adiknya, Nurul Fitri Alia, 18, sejurus sebelum melangkah keluar rumah untuk membeli sarapan di warung kira-kira 300 meter dari kediaman mereka di Kampung Serban Hijau, Sungai Siput.

Fitriani berkata, seperti rutin dilakukan setiap hari, neneknya yang memelihara mereka sejak kecil melangkah keluar pada 7.50 pagi untuk membeli sarapan di warung di seberang jalan kediaman mereka.

“Kami meminta kebenaran arwah untuk membeli sarapan, tetapi seperti biasa, arwah tidak membenarkannya kerana bimbang keselamatan kami ketika melintas jalan.

“Kami tidak sangka, itulah soalan terakhir arwah nenek sebelum meninggalkan kami untuk selama-lamanya dan sekarang kami kehilangan tempat bergantung hidup.

“Apapun, kami reda menerima suratan takdir dan pasrah dengan pemergian arwah” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dua beradik itu dipelihara arwah Merah sejak ibu mereka, Noraisyah Hussein meninggal dunia akibat barah paru-paru ketika Fitriani dan Nurul Fitri, masing-masing berusia sembilan dan enam tahun.

Sebelum pemergian ibu tersayang, kehidupan mereka sekeluarga terasa amat sempit berikutan bapa mereka pulang ke Lombok, Indonesia dan tidak pernah muncul selepas itu, menyebabkan Noraisyah terpaksa mencari rezeki dengan bekerja di ladang penternakan ayam.

Berikutan pemergian nenek tercinta, kedua-dua remaja terbabit kini hanya mampu menumpang kasih pada datuk saudara mereka, Amran Lajis, 72, yang tinggal tidak jauh dari kediaman mereka.

Dalam kejadian 8.25 pagi itu, Merah meninggal dunia selepas dirempuh kereta Proton Persona ketika melintas jalan untuk membeli sarapan di warung berkenaan.

Mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh kereta dipandu jururawat wanita berusia 33 tahun yang dalam perjalanan dari pekan Lubok Cina ke Simpang Ampat.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Siput, 9.45 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 5:17 PM