X
ANGGOTA keselamatan terdiri daripada PDRM dan Angkatan Tentera membuat sekatan jalan raya di Jambatan Kota menghala ke pusat bandar sejak PKP dikuatkuasakan. FOTO Osman Adnan
ANGGOTA keselamatan terdiri daripada PDRM dan Angkatan Tentera membuat sekatan jalan raya di Jambatan Kota menghala ke pusat bandar sejak PKP dikuatkuasakan. FOTO Osman Adnan
Nurul Hidayah Bahaudin


PEGAWAI dan anggota polis tidak digalakkan menggunakan kekerasan bagi mengawal situasi individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, orang ramai diharap dapat memahami situasi dilalui pegawai dan anggota polis yang bertugas sepanjang tempoh PKP.

“Harapan saya terhadap anak buah (pegawai dan anggota polis bertugas) supaya ikut undang-undang. Saya sendiri tidak menggalakkan mereka menggunakan kekerasan bagi mengawal mereka yang ingkar.

“Kami sendiri (pihak polis) tidak suka menahan orang tetapi undang-undang itu bertujuan menjaga kepentingan seluruh rakyat Malaysia dan ia bukanlah satu keseronokan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan anggota polis memukul remaja yang ingkar arahan PKP menggunakan rotan di Kunak, Sabah, baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya juga tidak ‘memilih bulu’ terhadap tindakan tegas dikenakan terhadap individu yang ingkar apabila dua anggota sudah ditahan kerana berbuat demikian.

“Sudah ada dua anggota polis ditahan kerana ingkar arahan PKP dengan individu kedua ditahan ketika sedang berkaraoke.

“Ingin saya tegaskan bahawa kami tidak memilih bulu dengan mengenakan tindakan tegas terhadap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melanggar arahan PKP.

“Sepatutnya mereka (polis) yang paling patuh arahan itu dan bagi contoh terbaik kepada masyarakat supaya mengikut arahan daripada pihak berkuasa.

“Tindakan sebegini menyebabkan 99 peratus rakyat Malaysia yang patuh arahan ini sakit hati kerana mereka berkurung dalam rumah, namun ada lagi individu yang keluar rumah tanpa sebab munasabah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa memantau pergerakan anak bagi memastikan mereka tidak keluar rumah sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

“Berdasarkan statistik tangkapan individu ingkar arahan PKP, empat peratus daripada jumlah keseluruhan tangkapan membabitkan remaja berusia bawah 18 tahun.

“Justeru, saya mohon ibu bapa supaya pantau aktiviti anak dengan memastikan mereka tidak keluar rumah bagi mengelak ditahan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada individu tegar melanggar arahan PKP dan memberi jaminan mereka akan berdepan hukuman berat apabila ditahan pihak berkuasa.

“Bagi individu ingkar yang menganggap perbuatan mereka melanggar arahan adalah macho perlu diingat bahawa sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

“Mungkin kali pertama hingga kaki ketiga mereka berjaya lolos, namun tidak akan lolos buat selamanya. Mereka perlu fikir hukuman berat yang akan menimpa mereka apabila ditahan kelak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 8:17 PM