GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin

 

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima 55,000 rangkaian data kontak pesakit Covid-19 termasuk kluster tabligh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, data itu dianalisis pasukan petugas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sebelum diserahkan kepada KKM bagi menggesa kontak pesakit tampil ke hospital bagi menjalani saringan pemeriksaan.

“Menerusi analisa dijalankan pasukan khas, kami berupaya membuat jangkaan mengenai kontak rapat pesakit melalui penawaran kepakaran teknologi PDRM bagi membantu KKM khususnya terhadap individu bawah pemantauan (PUS) dan individu bawah siasatan (PUI).

“Kami mahu membantu KKM untuk memantau individu yang ingkar arahan berkurung dalam rumah (kuarantin) apabila mereka bertindak keluar rumah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, penagih dadah yang mengesyaki dijangkiti Covid-19 atau mempunyai simptom diminta tampil untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Ketika ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik tidak ada membuat operasi berskala besar kecuali menerima maklumat mengenai aktiviti tokan serta pengedar dadah.

“Justeru, individu yang pernah mengambil dadah tidak perlu takut untuk tampil melakukan proses saringan Covid-19 kerana apa yang lebih penting adalah nyawa mereka dan kesannya sekiranya ia menjangkiti orang lain,” katanya.

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 8:49 PM