Suasana di sekitar Klinik Desa Sungai Lui.
Suasana di sekitar Klinik Desa Sungai Lui.

JABATAN Kesihatan Melaka mengarahkan 125 pelajar sebuah madrasah di Ayer Merbau, Jasin untuk dikuarantin secara berpusat susulan peningkatan indeks positif kes Covid-19 di pusat pengajian terbabit.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman berkata, semua pelajar yang kini berada di kediaman masing-masing diarah untuk pulang semula ke madrasah berkenaan sebelum dihantar ke Pusat Kuarantin Covid-19 Melaka di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE) di Alor Gajah untuk dikuarantin.

Beliau berkata, usaha itu bagi mengekang transmisi penyebaran pandemik Covid-19 memandangkan sehingga kini kira-kira 20 pelajar dan tenaga pengajar sudah disahkan positif yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes indeks kluster tabligh di Masjid Sri Petaling.

“Susulan daripada beberapa kes positif Covid-19 di madrasah itu, semua pelajar tahfiz berusia 13 hingga 21 tahun, tenaga pengajar dan staf sokongan sudah menjalani saringan pada Rabu minggu lalu.

“Bagaimanapun sehingga hari ini, keputusan ujian mendapati sekurang-kurangnya 20 pelajar disahkan positif dan saya meminta Jabatan Kesihatan negeri untuk memanggil balik semua pelajar bagi menjalani kuarantin berpusat di CREaTE,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ibu bapa atau penjaga kepada pelajar tahfiz berkenaan sudah dimaklumkan untuk menghantar semula anak mereka ke madrasah berkenaan selewat-lewatnya jam 1 tengah hari esok sebelum dikuarantin.

Katanya, keluarga dan kontak rapat pelajar terbabit sudah dimaklumkan lebih awal supaya turut melakukan saringan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 9:48 PM