Ketua polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Ketua polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN meletakkan individu mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dalam penjara tidak terletak dalam bidang kuasa pihak polis sebaliknya diputuskan oleh Jabatan Kehakiman Negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan pihaknya hanya melaksanakan tangkapan terhadap individu mengingkari PKP.

“Kami sedia maklum mengenai situasi di dalam penjara yang dikatakan sesak sekiranya pesalah tangkapan ingkar PKP ditempatkan di sana, namun pihak polis hanya melakukan tugas tangkapan.

“Ini kerana kami hanya melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan segala hukuman penjara adalah di bawah budi bicara pihak mahkamah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, setakat ini, seramai 378 pesalah mengingkari arahan PKP sudah dijatuhkan hukuman penjara dan denda.

“Sebahagian lagi individu ditahan melanggar arahan PKP pula tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

“Adalah menjadi satu kerugian bagi individu yang dikenakan hukuman denda RM1,000 apabila mengingkari PKP kerana wang itu boleh digunakan untuk membeli keperluan harian yang lebih penting.,” katanya.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan pihaknya menggesa pegawai kehakiman mengambil pertimbangan dalam menjatuhkan hukuman penjara bagi kesalahan melanggar PKP susulan risiko penularan wabak Covid-19 di penjara.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan itu terletak pada budi bicara mahkamah mempertimbangkan bentuk hukuman sesuai dengan mengambil kira masalah risiko penularan wabak itu yang dihadapi semua penjara di seluruh negara.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Hamid berkata, seramai 44 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) disahkan positif Covid-19 sehingga hari ini.

“Setakat hari ini, 44 warga PDRM disahkan positif Covid-19, manakala lebih 900 individu lagi dikenakan kuarantin rumah.

“Ia turut membabitkan seorang pegawai berpangkat Inspektor yang disahkan positif (Covid-19), hari ini. Kontak rapat beliau juga turut dikuarantin rumah.

“Semua mereka akan sentiasa dipantau bagi memastikan tiada pelanggaran arahan kuarantin di rumah berlaku,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 9:58 PM