MUHYIDDIN menerima cek sumbangan daripada Rosli. FOTO Ihsan Facebook PM
MUHYIDDIN menerima cek sumbangan daripada Rosli. FOTO Ihsan Facebook PM
Redzuan Muharam


“SAYA bangga apabila bekas pesakit Covid-19 yang disahkan sembuh oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini mengambil peranan membantu mangsa wabak.

“Beliau (Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Berhad (UDA) Rosli Dahlan) yang juga Pemegang Amanah Yayasan NAMA telah menemui saya untuk menyampaikan sendiri sumbangan berjumlah RM150,000 daripada pihak yayasan,” kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkongsi kisah itu bersama gambar sewaktu pertemuannya dengan Rosli menerusi hantaran di Facebook miliknya, malam ini.

Menerusi hantaran itu, Muhyiddin menzahirkan rasa bangganya terhadap Rosli yang kini mengambil peranan membantu mangsa wabak berkenaan.

Dalam hantaran itu, Muhyiddin memaklumkan, pada awal Mac lalu, UDA menjadi antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) paling teruk menerima kesan apabila beberapa ahli pengurusan tertinggi mereka diuji positif Covid-19.

“Mereka dikuarantin di hospital, dengan majoriti ditempatkan di Hospital Sungai Buloh (HSB), iaitu hospital khusus bagi merawat penyakit berjangkit.

“UDA telah bermurah hati menyumbang untuk menaik taraf beberapa wad kuarantin di beberapa buah hospital, bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes pada pertengahan April.

“Saya difahamkan, ada dalam kalangan bekas pesakit kakitangan UDA yang terbabit membantu projek vaksin serum darah. Sekiranya projek ini berjaya, mereka ini akan menjadi penyelamat,” katanya.

Menurut Muhyiddin, jika seluruh dunia boleh bersatu melawan Covid-19, beliau berharap rakyat Malaysia juga mampu melakukannya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 10:35 PM