Mohamed Farid Noh


SERAMAI 237 gelandangan yang ditempatkan di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Johor Bahru, akan dikuarantin di lokasi berkenaan sepanjang wabak Covid-19 melanda negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan golongan terbabit dijangkiti wabak berkenaan jika dibiarkan berkeliaran di kawasan awam.

“Semalam, seramai 237 gelandangan sudah menjalani saringan kesihatan dan semuanya disahkan bebas Covid-19.

“Mereka tidak akan dibenarkan keluar dan akan dikuarantin di kem ini sepanjang musim wabak Covid-19 dan jika ingin keluar nanti, keluarga masing-masing perlu datang dan mengambil mereka.

“Kita juga akan menyiasat dan memberi bantuan sewajarnya termasuk dakwaan yang sesetengahnya ingin mencari pekerjaan dan pulang ke pangkuan keluarga semula selepas wabak pulih supaya mereka tidak lagi bertebaran menjadi gelandangan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Turut hadir, Pegawai Daerah Kluang, Mohd Radzi Mohd Amin.

Mengulas lanjut, Zaiton yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang berkata, hasil perbualannya bersama beberapa gelandangan yang ditempatkan di kem itu mendapati mereka berpuas hati terhadap kemudahan yang diselia Pejabat Daerah Kulai dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor.

“Terdapat seorang ibu yang hamil empat bulan bersama suaminya dan ada juga golongan berusia pertengahan yang bekerja di Singapura namun menjadi gelandangan selepas tidak dibenarkan memasuki republik itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Beberapa gelandangan yang mempunyai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan batuk juga sudah dibawa ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.

“Saya turut berpuas hati dengan kemudahan disediakan termasuk khemah bertutup yang disediakan bagi menempatkan gelandangan lelaki selain bilik dorm yang selesa, ” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditempatkan di situ juga diberi makanan sebanyak empat kali sehari yang disediakan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Johor dengan stok serta bekalan makanan oleh kerajaan negeri.

PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail (kanan) bersama Pegawai Daerah Kluang, Mohd Radzi Mohd Amin meninjau bilik dorm yang menempatkan seramai 237 gelandangan, di Kem Wawasan Bina Negara, Gunung Pulai, di Kulai, akan dikuarantin di lokasi berkenaan sepanjang musim wabak COVID-19 ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail (kanan) bersama Pegawai Daerah Kluang, Mohd Radzi Mohd Amin meninjau bilik dorm yang menempatkan seramai 237 gelandangan, di Kem Wawasan Bina Negara, Gunung Pulai, di Kulai, akan dikuarantin di lokasi berkenaan sepanjang musim wabak COVID-19 ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 10:01 AM