BANGUNAN Persada PLUS di Subang Jaya. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Persada PLUS di Subang Jaya. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memperuntukkan RM1.2 juta kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh (HSB) dalam bentuk peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan peralatan perubatan bagi membantu kedua-dua hospital itu menangani Covid-19.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, ini adalah pembabitan dan bantuan yang boleh dilakukan bersama untuk mengurangkan beban pasukan perolehan hospital dalam detik yang mencabar ini.

“Ketika seluruh tenaga kerja daripada HKL dan HSB memberi fokus untuk merawat pesakit Covid-19, PLUS membantu dalam proses perolehan yang mana kami akan membeli terus dari pembekal dan menyelaraskan penghantaran peralatan ke kedua-dua hospital terbabit.

“Wabak Covid-19 ini menjangkiti lebih daripada satu juta orang di seluruh dunia dan di Malaysia saja lebih daripada 3,000 diuji positif.

“Melihat dari sudut yang positif, lebih daripada 1,000 rakyat Malaysia sudah pulih daripada virus berkenaan.

“Kami berharap dengan bantuan yang kami salurkan kepada HKL dan HSB ini berupaya untuk menyumbang kepada kadar pemulihan yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

PLUS menyokong segala usaha kerajaan untuk menangani wabak Covid-19 dan terus mengingatkan semua rakyat Malaysia agar terus kekal berada di rumah di samping menjaga keselamatan dan kesihatan bersama keluarga masing-masing bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Corray berkata, pihaknya menghargai bantuan PLUS atas komitmennya untuk menghulurkan bantuan PPE dengan kos kira-kira RM938,000 untuk memastikan keselamatan kakitangan perubatan di Pusat Saringan dan Wad Covid-19 di HKL.

Manakala, Pengarah HS, Dr Kuldip Kaur juga berterima-kasih di atas keprihatinan PLUS yang menyalurkan bantuan perubatan yang amat diperlukan untuk memulihkan pesakit Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 11:02 AM