GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS akan melakukan pemeriksaan secara rawak terhadap barangan dibawa penghantar makanan bermotosikal bagi mengelak ada pihak mengambil kesempatan melakukan kegiatan penyeludupan rokok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya menyedari ada pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melakukan kegiatan menyalahi undang-undang.

“Kehabisan bekalan rokok yang sah menyebabkan peningkatan rokok seludup di premis dan kedai runcit mendapat permintaan tinggi.

“Saya percaya aktiviti penyeludupan rokok ini berleluasa termasuk ada pihak mengambil kesempatan menggunakan penghantar makanan untuk mengedarkan bekalan.

“Justeru, anggota bertugas di sekatan jalan raya akan melakukan pemeriksaan secara rawak terhadap penghantar makanan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

Katanya, polis akan melakukan pemantauan di kawasan pantai untuk mengawal aktiviti penyeludupan rokok.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai video seorang penghantar makanan membawa bekalan rokok seludup yang tular di media sosial, semalam.

Video berdurasi 11 saat itu menunjukkan penghantar makanan menunjukkan rokok seludup diletakkan dalam kotak makanan.

Dalam video berkenaan, penghantar makanan berkenaan memaklumkan harga satu karton rokok seludup terbabit dijual pada harga RM95.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 11:37 AM