ANTARA 11 lelaki ditahan polis ketika berhimpun dalam semak dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO ihsan Polis
ANTARA 11 lelaki ditahan polis ketika berhimpun dalam semak dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO ihsan Polis
Hamzah Osman


SEBELAS lelaki ditahan selepas gagal mengemukakan alasan munasabah kerana berhimpun dalam semak di Kampung Bakau, Langkawi, semalam.

Kesemua mereka berusia antara 16 dan 48 tahun ditahan ketika polis mengadakan rondaan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 6 petang.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, penahanan dibuat susulan aduan awam berkaitan tindakan mencurigakan kumpulan lelaki itu.

“Berdasarkan aduan awam, sepasukan anggota polis yang membuat rondaan pemantauan PKP menyerbu kawasan semak di kampung itu.

“Ketika pemeriksaan, kesemua suspek gagal memberikan alasan munasabah untuk berada di luar rumah ketika PKP,” katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan awal mendapati 10 suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah, manakala seorang daripadanya bersih.

“Semua individu terbabit ditahan reman dan disiasat bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Mereka turut disiasat megikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang tugas seorang pegawai polis dan Seksyen 270 KK kerana berkumpul menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 11:43 AM