X
BERNAMA

INDEKS jenayah di seluruh negara turun sebanyak 70 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac bagi mengekang wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, susulan itu rakyat tidak perlu bimbang berhubung dakwaan kononnya kes jenayah akan meningkat dalam tempoh itu.

“Kepada rakyat kita yang sentiasa beri komen di media sosial menyatakan kebimbangan rumah mereka kosong dan takut jenayah semakin meningkat… tapi statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan satu berita gembira, indeks jenayah menurun 70 peratus dalam tempoh PKP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata jumlah tangkapan individu yang ingkar PKP di seluruh negara sehingga semalam sebanyak 6,451 orang.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 403 individu ditahan semalam dengan 347 telah direman dan 56 individu diikat jamin.

“Berbanding kelmarin, kadar tangkapan ini menurun kepada 26 peratus, namun jumlah tangkapan 403 individu ini masih tinggi berbanding sebelum ini,” katanya.

Menyentuh mengenai operasi sanitasi awam COVID-19, Ismail Sabri berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 666 operasi sanitasi di 79 zon termasuk kesemua 18 Zon Merah.

Dalam tempoh itu, bangunan kerajaan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) turut dinyahcemar termasuk 24,077 unit rumah PPR.

Mengenai keluhan ibu bapa berkaitan bayaran bulanan pusat asuhan kanak-kanak swasta yang perlu dibayar dalam tempoh PKP ini, beliau berkata pihaknya telah meminta kementerian berkaitan untuk meneliti perkara tersebut.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    ANGGOTA polis memeriksa kenderaan ketika sekatan jalan raya bagi menguatkuasakan PKP di Kuala Lumpur, 3 April lalu. FOTO Asyraf Hamzah
    ANGGOTA polis memeriksa kenderaan ketika sekatan jalan raya bagi menguatkuasakan PKP di Kuala Lumpur, 3 April lalu. FOTO Asyraf Hamzah

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 5:23 PM