Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) meminta rakyat Malaysia yang berada di Singapura supaya terus kekal di negara berkenaan dua minggu lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan kedua-dua negara sudah menjalankan perbincangan bersama mengenai perkara itu.

"Warga Malaysia yang tinggal di Singapura, kalau boleh mereka duduk di sana untuk tempoh dua minggu lagi.

"Kita sedang berbincang dengan pihak di Singapura sama ada majikan mereka dapat kekalkan mereka di sana untuk tempoh dua minggu

"Mereka yang hendak kembali akan disaring. Apabila disaring kita ambil tindakan seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

RAKYAT Malaysia yang bekerja di Singapura berjalan kaki menyeberangi Tambak Johor. FOTO Bernama
RAKYAT Malaysia yang bekerja di Singapura berjalan kaki menyeberangi Tambak Johor. FOTO Bernama

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak dibenarkan pulang ke negara ini sehingga kedua-dua kerajaan selesai berunding semula mengenai perjanjian awal yang pernah dipersetujui sebelum ini.

Beliau berkata pihaknya maklum bahawa ada puluhan ribu rakyat Malaysia ingin pulang ke negara ini namun menegaskan terdapat sedikit perubahan terhadap perjanjian awal antara Malaysia-Singapura yang perlu diselesaikan.

Namun, sejak petang semalam sehingga hari ini ratusan pekerja negara ini dari Singapura mula pulang bermula jam 4.30 petang.

Kebanyakan mereka terpaksa berjalan kaki merentasi Tambak Johor sepanjang 1.5 kilometer menuju ke Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar Bukit Chagar.

Untuk rekod, kira-kira 400,000 orang memasuki Singapura menerusi CIQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah setiap hari, yang mana separuh daripada jumlah itu adalah warganegara Malaysia yang bekerja di republik berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 6:38 PM