Sekatan jalan raya di sekitar Terengganu. FOTO NSTP
Sekatan jalan raya di sekitar Terengganu. FOTO NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


LEBIH banyak sekatan jalan raya (SJR) dan penguatkuasaan akan dilakukan di Dungun susulan pertambahan kes positif Covid-19 di daerah itu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya akan memperketatkan lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) di Dungun khususnya di kampung dan taman perumahan dalam masa terdekat.

“Kita juga akan menambah lebih banyak SJR di daerah itu dan kita nasihatkan masyarakat setempat kekal berada di rumah dan keluar jika ada perkara mustahak atau kecemasan sahaja.

“Langkah ini terpaksa diambil kerana Dungun dikategorikan zon jingga dengan 27 kes positif, manakala Besut yang juga berada dalam zon jingga apabila merekodkan 30 kes positif Covid-19.

“Walaupun Besut dikategorikan zon jingga, kes di sana sudah boleh dikawal dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) banyak membuat pemeriksaan dan saringan tetapi di Dungun kes baharu bermula,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Roslee berkata, pihaknya berpuas hati dengan pematuhan PKP dalam kalangan rakyat di negeri itu yang sudah mencapai 97 peratus.

Menurutnya, jumlah tangkapan mereka yang ingkar PKP juga semakin berkurangan sekali gus menunjukkan rakyat semakin sedar dan patuh dengan perintah.

“Sehingga kini, seramai 167 orang sudah ditahan termasuk 13 tangkapan yang dibuat semalam membabitkan semua daerah kecuali Hulu Terengganu.

“Daripada jumlah itu, lebih 80 orang sudah didakwa di mahkamah dan ada yang sudah dijatuhi hukuman denda dan penjara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 6:48 PM