ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Melaka melakukan pemantauan harga barangan di sebuah pasaraya. FOTO AMIR MAMAT
ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Melaka melakukan pemantauan harga barangan di sebuah pasaraya. FOTO AMIR MAMAT

 

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengesan dua kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, selepas terdapat peniaga dikesan menjual barangan pada harga tidak munasabah.

Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar berkata, dua kes itu dikesan dilakukan pada sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui aktiviti pemeriksaan dijalankan sejak 18 Mac lalu.

Beliau berkata, dalam masa sama dua notis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat harga barangan selepas menerima aduan berkaitan item dijual terlalu mahal dan disyaki mengambil keuntungan tidak munasabah.

“KPDNHEP Melaka melalui Seksyen Penguatkuasa terus menjalankan aktiviti pemeriksaan di seluruh negeri bagi memastikan barang keperluan asas pengguna sentiasa mencukupi semasa dalam tempoh PKP ini.

“Sejak 18 Mac lalu hingga semalam, sebanyak 580 premis perniagaan diperiksa meliputi semua lapisan iaitu peruncit (527), pemborong (47) dan pengilang/peladang (6).

“Selain itu, kami menerima 53 aduan rasmi yang secara amnya berkaitan mengenai perihal harga dan dua kes dikesan menyalahi peraturan dan dua notis sudah dikeluarkan di bawah AKHAP 2011,” katanya dalam satu kenyataan di Melaka, hari ini.

Norena berkata, jualan keperluan asas bagi tempoh PKP iaitu topeng penutup muka dna hidung serta telur ayam dikesan masih berada dalam keadaan terkawal.

Beliau berkata, bekalan topeng penutup muka dan hidung kembali berada di pasaran dan ia boleh didapati di kebanyakan premis runcit dan farmasi di seluruh negeri.

“Desas-desus kononnya harga telur bakal naik disebabkan kenaikan kos makanan ternakan, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Melaka sudah mengambil langkah proaktif dengan memantau secara terus harga jualan dari peringkat peladang hingga ke peruncit.

“Sehingga 31 Mac lalu, harga jualan telur di pasaran boleh dianggap munasabah dan secara keseluruhan harga telur di Melaka masih terkawal, manakala bekalan telur tiada masalah memandangkan pemantauan rapi dijalankan oleh Jabatan Veterinar bagi memastikan bekalan di pasaran sentiasa mencukupi,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan aduan, orang ramai khususnya rakyat Melaka boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Melaka di talian 06-2345869 pada setiap hari bermula 8 pagi hingga 6.00 petang atau menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Putrajaya yang beroperasi 24 jam di talian 03-88826088.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 7:35 PM