TAPIR jantan dewasa yang ditemui berkeliaran sekitar Jementah. FOTO IHSAN PERHILITAN Johor.
TAPIR jantan dewasa yang ditemui berkeliaran sekitar Jementah. FOTO IHSAN PERHILITAN Johor.
Ahmad Ismail


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor menyelamatkan seekor tapir jantan dewasa ditemui berkeliaran di sekitar Jementah di sini, semalam.

Tapir itu diselamatkan 3.45 petang selepas PERHILITAN menerima aduan daripada orang awam berkaitan pergerakan haiwan itu.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, pihaknya bergegas ke lokasi dan menemui tapir terbabit berkeliaran di sekitar kawasan sebuah kilang.

“Operasi menyelamat ini dijalankan empat anggota PERHILITAN Daerah Segamat dan empat anggota Pasukan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Selatan.

“Tapir itu ditangkap 5.15 petang. Ia kemudiannya dilepaskan di habitatnya di Taman Negara Endau Rompin. Operasi ini selesai 3.30 pagi tadi,” katanya.

Menurut beliau, operasi menyelamatkan tapir ini diharap dapat mengurangkan risiko ia dilanggar kenderaan, kelaparan selain mangsa pemburu haram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 8:33 PM