Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah).
Mohamed Farid Noh


RAKYAT Malaysia yang bersubahat menyeludup masuk warga asing berdepan tindakan lebih tegas susulan langkah kerajaan mengetatkan pintu masuk seluruh negara, termasuk laluan tikus bagi mengekang penularan Covid-19.

Sambil memberi amaran, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi lagi terhadap tindakan yang disifatkan sebagai pengkhianatan kepada negara itu.

Katanya, tindakan membawa warga asing masuk secara haram ke Malaysia tidak akan berjaya sama sekali tanpa bantuan rakyat negara ini.

“Hari ini saya nak bagi amaran pada tekong laut dan darat yang kita sedang giat kesan, kita akan ambil hukuman yang lebih berat ke atas mereka ini.

“Pada saya, mereka adalah musuh negara kerana membenarkan warga asing masuk secara haram dan tanpa dokumen yang sah.

“Kementerian bersama semua agensi pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengenal pasti dan mengetatkan laluan tikus seluruh negara.

“Ia juga termasuk di Johor bagi memastikan tiada sesiapa pun masuk ke negara ini tanpa pemeriksaan dan saringan kesihatan sekali gus merisikokan negara kita dengan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ditanya sama kerajaan sudah mengenal pasti laluan tikus di seluruh negara, Hamzah berkata, perkara itu dilakukan dari masa ke semasa.

“Laluan tikus ini sering berubah. Kita sentiasa mengesan laluan tikus yang baharu serta sedia ada supaya dapat bertindak mengekang kemasukan warga asing secara haram,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, agensi di bawah kementeriannya juga akan menggempur penempatan haram warga asing di negara ini bagi memastikan ia tidak menjadi lokasi wabak Covid-19 menular.

“Jika ada penempatan warga asing secara haram, kita akan gempur dan perketatkan kawalan bagi memastikan mereka ini diperiksa dengan rapi dan bukan menjadi lokasi wabak di negara ini, ” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 8:51 PM