Syaherah Mustafa


BEBERAPA kawasan yang menjadi tumpuan aktiviti penyeludupan beras Siam atau keluar masuk pelbagai barangan antara Malaysia-Thailand di Rantau Panjang lengang sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Tinjauan hari ini mendapati tiada sebarang aktiviti rentas sempadan berlaku di beberapa pangkalan haram yang dikategorikan kawasan panas dalam kalangan penyeludup, malah tidak kelihatan sampan atau bot bergerak.

Dinding zink yang biasanya dibina penduduk tempatan bagi menjalankan aktiviti membawa masuk beras Siam juga terkunci rapi tanpa sebarang kunjungan pelanggan ketika beberapa jam tinjauan berada di lokasi.

Penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Noriah, 46, berkata, bekalan beras Siam memang masih ada tetapi aktiviti membawa masuk dari negara jiran itu terpaksa diberhentikan kerana kawalan ketat bukan sahaja daripada pihak berkuasa tempatan tetapi di Thailand juga.

“Saya juga dapat melihat tidak ramai orang datang membeli beras mungkin kerana mereka takut ditambah pula dengan bekalan yang sukar untuk diperolehi selain akur dengan arahan supaya tidak keluar rumah.

“Jika di kawasan Kampung Lubok Gong ini, kebanyakan pelanggan adalah mereka yang luar dari Rantau Panjang yang datang jauh mendapatkan bekalan beras Siam, jadi bila keadaan jadi begini, tidak ramai yang datang membeli.

“Sejak PKP dijalankan, semua kegiatan seperti terhenti dengan kawalan yang sangat ketat daripada pelbagai pihak berkuasa,” katanya.

SEKITAR kawasan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, yang lengang hanya dilalui kenderaan berat yang mempunyai dokumen perjalanan sah. FOTO Syaherah Mustafa
SEKITAR kawasan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, yang lengang hanya dilalui kenderaan berat yang mempunyai dokumen perjalanan sah. FOTO Syaherah Mustafa

Sementara itu, tinjauan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, mendapati hanya kenderaan berat yang membawa barang keperluan asas dibenarkan masuk disamping perlu melalui prosedur yang ketat.

Selain itu, ketika tinjauan jam 10 sehingga 11 pagi, kelihatan pihak berkuasa yang bertugas sentiasa memastikan pagar yang menghala masuk ke Thailand sentiasa tertutup dan hanya dibuka kepada kenderaan berat yang mempunyai dokumen sah.

Suasana terbabit nyata berbeza tidak seperti hari biasa yang dipenuhi kenderaan awam yang keluar masuk melalui jalan sah terbabit.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 2:19 PM