KESATUAN Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia (NUAMO) melalui cawangannya di Johor menyerahkan sumbangan RM2,000 untuk Tabung Covid-19.
Pengerusinya, Muhad Razuli Tulos berkata, dana berkenaan bagi membolehkan pihak berkaitan menggunakannya untuk memerangi wabak terbabit.
“Ada dalam kalangan ahli kami turut bertugas sebagai petugas barisan hadapan dan kami dapat bayangkan kesukaran yang semua petugas ini hadapi.
“Sumbangan ini disalur sebagai tanda prihatin kami kepada semua petugas barisan hadapan,” katanya.
Muhad Razuli berkata demikian selepas menyerahkan replika cek kepada Pengarah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang Dr Azura Abu Bakar hari ini.
Turut hadir Ahli Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu.
Muhad Razuli turut menyeru orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak lain sama-sama menyumbang kepada Tabung Covid-19 ini.