MOHD ZAKARIA AHMAD
MOHD ZAKARIA AHMAD
Nurul Hidayah Bahaudin


PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) Gerakan Banteras Along Malaysia (GBAM) diminta tampil memberikan maklumat kepada pihak pihak polis dakwaan lebih 50,000 peminjam berputih mata akibat kad pengeluaran wang automatik (ATM) dipegang ceti haram atau dikenali sebagai along.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, tiada sebarang laporan diterima pihaknya berkaitan along yang akan mengambil bantuan wang diterima menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) daripada peminjam.

“Jika betul ada isu berkenaan, saya minta NGO itu atau individu terbabit tampil memberikan maklumat kepada kami untuk siasatan lanjut.

“Jangan keluarkan sebarang kenyataan tanpa bukti jelas hingga menggusarkan orang ramai kerana ia akan menimbulkan suasana tidak selesa dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyerahkan sebarang dokumen peribadi mereka kepada mana-mana pihak bagi mengelak menjadi mangsa.

“Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini termasuk penipuan dan pinjaman ceti haram, orang ramai dinasihatkan menjaga maklumat peribadi daripada terdedah kepada pihak lain,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan GBAM mendakwa lebih 50,000 peminjam berputih mata akibat kad ATM mereka dipegang oleh along.

Pengerusi GBAM Azman Kang Abdullah memaklumkan beliau dihubungi beberapa pengadu menyatakan mangsa yang sepatutnya menerima wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkemungkinan menjadi milik along.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 6:34 PM