Mohd Shafie (kanan) menerima replika cek daripada salah satu Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sempena Majlis Penyerahan Sumbangan GLC kepada Tabung Bencana Negeri Sabah di Kota Kinabalu. FOTO YUN MIKAIL
Mohd Shafie (kanan) menerima replika cek daripada salah satu Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sempena Majlis Penyerahan Sumbangan GLC kepada Tabung Bencana Negeri Sabah di Kota Kinabalu. FOTO YUN MIKAIL


GOLONGAN B40 serta rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung diminta menghubungi Pejabat Perhubungan Negeri Sabah bagi mendapatkan bantuan Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya berdepan sedikit kesukaran bagi mengesan rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung berikutan tiada maklumat lengkap tentang keberadaan masing-masing.

“Ada kalanya rakyat Sabah di sana berpindah tempat tinggal mahupun lokasi kerja. Oleh itu, mereka harus memaklumkan kepada kita bagi memudahkan pegawai bertugas.

“Berbeza dengan penuntut, mereka ini mempunyai rekod di institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan sumbangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kepada Tabung Bencana Negeri Sabah di sini.

Sebanyak RM5.85 juta disumbang enam GLC ke tabung bencana ini bagi menampung keperluan kerajaan negeri bagi menangani Covid-19.

Menurut beliau, ada yang bertanya tentang langkah untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

“Ada juga yang merayu disebabkan bantuan tidak sampai.

“Oleh itu, saya minta rakyat kita di Semenanjung berhubung dengan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Ampang untuk memastikan bantuan ini dapat disalurkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, setakat ini, RM9 juta bantuan sudah disampaikan kepada rakyat dan penuntut Sabah di Semenanjung.

“Sistem penyampaian bantuan melalui Pakej Bantuan Covid-19 Sabah ini dipantau setiap hari untuk memastikan ia diterima kumpulan sasar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 10:00 PM