ANGGOTA polis menahan seorang pekerja penghantar makanan di sekatan jalan raya di susur keluar MPK Jambatan Kota, Klang, kelmarin.
ANGGOTA polis menahan seorang pekerja penghantar makanan di sekatan jalan raya di susur keluar MPK Jambatan Kota, Klang, kelmarin.
Nurul Hidayah Bahaudin


SOROK dadah dalam bungkusan gula-gula. Itu taktik digunakan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan khidmat penghantar makanan untuk menghantar barang terlarang itu untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas polis menahan seorang penghantar makanan dipercayai dijadikan mangsa sindiket berkenaan untuk menghantar dadah terbabit dalam sekatan jalan raya Op Covid-19 di susur keluar Majlis Perbandaran Klang (MPK) Jambatan Kota, Klang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan 4.30 petang bersama rampasan dadah disyaki syabu seberat 1.14 gram.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, anggota bertugas menemui dadah itu dalam bungkusan gula-gula.

“Lelaki itu memaklumkan dia dalam perjalanan untuk menghantar bungkusan berkenaan ke kawasan Bukit Raja, Klang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shamsul Amar berkata, penghantar makanan itu dipercayai dimanipulasi oleh sindiket untuk menghantar dadah terbabit kepada individu lain menggunakan khidmat penghantar makanan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Siasatan lanjut dijalankan dan kami giat mengesan dalang serta suspek yang terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 11:33 AM