X
DRON yang digunakan polis untuk memantau penduduk. FOTO Arkib NSTP.
DRON yang digunakan polis untuk memantau penduduk. FOTO Arkib NSTP.


POLIS Terengganu menggunakan dua dron memantau pergerakan penduduk terutama di tiga kampung di Dungun.

Ia bagi memastikan penduduk patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, kampung terbabit adalah Kampung Tok Kah yang mempunyai 1,200 orang, Teluk Lipat (890 orang) dan Sungai Buaya (1,500 orang).

Katanya, kekuatan anggota dan pegawai memantau juga ditambah kepada 156 orang selepas Dungun dikategorikan sebagai zon oren dengan bilangan pesakit Covid-19 mencapai 30 orang.

“Langkah memperketatkan kawalan pergerakan ini dilakukan bagi mencegah penularan wabak berkenaan selain mengelak tiga kampung itu dikategori kepada zon merah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Khemah Sumbangan Kerajaan Negeri bernilai RM280,000 di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, hari ini.

Sebanyak 40 khemah lengkap dengan generator dan kerusi serta meja disumbangkan untuk kegunaan PDRM ketika sekatan jalan raya di seluruh Terengganu.

Dalam pada itu. Roslee berkata, sehingga kini 187 individu ditahan kerana ingkar PKP di seluruh negeri itu dan 130 orang daripadanya sudah dituduh di mahkamah.

Katanya, individu didakwa ingkar boleh dikompaun sehingga RM1,000 dan diberi tempoh dua mingu untuk menjelaskannya.

“Jika gagal, waran tangkap boleh dikeluarkan. Kompaun maksimum bermula hari ini,” katanya.

Berhubung anggota disyaki dijangkiti Covid-19, beliau berkata, hanya sembilan daripada 40 anggota dan pegawai yang masih menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

“Manakala, seorang daripada keluarga anggota yang bertugas di Pulau Perhentian positif Covid-19 dan kini sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 12:38 PM