Warga emas, Derma Samat, 81, menunjukkan nama penuh pada MyKadnya (blur nombor ic dan alamat). FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Warga emas, Derma Samat, 81, menunjukkan nama penuh pada MyKadnya (blur nombor ic dan alamat). FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


“NAMA opah, Derma walaupun sebenarnya arwah ayah bagi nama penuh, Derma Taksiah,” kata Derma Samat, 81.

Warga emas yang mesra disapa Opah Mei dalam kalangan penduduk setempat mengakui nama berkenaan mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Menurutnya, pada mulanya nama penuh dipilih bapanya adalah Derma Taksiah, namun hanya Derma sahaja ditulis dalam surat beranak akibat berlaku kesilapan ketika mendaftar kelahirannya.

“Bila sudah lama baru ayah opah perasan nama Taksiah tak mandang (tak nampak dalam surat beranak) hanya tinggal Derma saja.

“Biasalah zaman dahulu, ada tertinggal (nama) dan salah ejaan... tapi tak mengapalah janji ada nama.

“Ada juga yang ingat opah bergurau bila beritahu nama sebenar, pernah budak sekolah datang minta derma serta tanya nama, mereka tak percaya bila diberitahu tetapi ketawa apabila tahu perkara sebenar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Bakong, Bota Kanan, Bota, hari ini.

Bagaimanapun katanya, dia menganggap namanya istimewa, malah arwah bapa tetap memanggilnya dengan nama Derma Taksiah sepanjang hayat lelaki itu.

“Opah tak pernah tanya kenapa bagi nama itu, tetapi arwah ayah ada cakap dia suka nama Derma, Taksiah pula sebab mahu bunyi ‘iah’ di belakang sama seperti adik-beradik perempuan iaitu Robaiyah dan Rodiah,” katanya yang turut mempunyai tiga lagi adik-beradik lelaki.

Bercerita mengenai cara menjaga kesihatan, warga emas itu berkata, dia suka berkebun dan makan sayur seperti petola, kacang panjang dan ulam-ulaman.

Derma yang tinggal bersama anak bongsu dan menantunya berkata, dia juga mengamalkan solat sunat dan membaca al-Quran setiap kali selepas solat lima waktu.

“Selain mengaji, opah suka berkebun dan biasanya awal pagi opah akan melihat tanaman jagung di tepi rumah tetapi dalam keadaan sekarang tak berani juga duduk lama-lama di luar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 1:25 PM