PENGHANTARAN bekalan makanan oleh ATM menggunakan helikopter di kawasan pedalaman Sarawak bermula sejak 5 April lalu. FOTO Ihsan ATM
PENGHANTARAN bekalan makanan oleh ATM menggunakan helikopter di kawasan pedalaman Sarawak bermula sejak 5 April lalu. FOTO Ihsan ATM
Nurul Hidayah Bahaudin


TUGAS penghantaran bekalan makanan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada penduduk di kawasan pedalaman di Sarawak bagi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua dijangka selesai hari ini dan esok.

Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain berkata, terdapat empat kawasan terbabit dalam penugasan berkenaan iaitu Miri, Bintulu, Sibu dan Sarikei.

“Tugas penghantaran bekalan makanan ini dilakukan ATM dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak dan Kerajaan Negeri Sarawak bermula pda 5 April lalu sebaik dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

“Bagi kawasan Bintulu dan Miri, kami menjangkakan penghantaran bekalan akan selesai hari ini, manakala di kawasan Sibu san Sarikei pula akan selesai esok.

“Bagaimanapun, kami sentiasa bersedia untuk melakukan penghantaran bekalan makanan lagi sekiranya menerima permohonan untuk penghantaran makanan jika diperlukan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

HELIKOPTER turut terlibat bagi penghantaran bekalan makanan di Lubok Antu. FOTO ihsan ATM
HELIKOPTER turut terlibat bagi penghantaran bekalan makanan di Lubok Antu. FOTO ihsan ATM

Zamrose berkata, pihaknya menggunakan pesawat EC-725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diterbangkan ke kawasan sukar dilalui dengan jalan darat seperti Miri, Bario, Long Loyang dan Long Akah.

“Selain itu, kami juga menggunakan dua helikopter daripada Syarikat Hornbill Skyways Sdn Bhd bagi penghantaran bekalan makanan di Lubok Antu, Sri Aman.

“Sebanyak 18 penerbangan diperlukan bagi menghantar bekalan makanan ke 13 lokasi iaitu di Bario, Long Sait, Patik, Ba Lai, Long Lellang, Long Loyang, Long Sobeng, Long Aton, Long Akah, Long Apu, Long Anap, Apau Nyaring dan Long Palai,” katanya.

Katanya, bantuan bekalan makanan yang dihantar merangkumi barang asas seperti beras, minyak dan gula kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“ATM akan melaksanakan misi penghantaran bekalan ini sebaik mungkin dalam memastikan rakyat di Sarawak terutama di kawasan pendalaman tidak terputus bekalan makanan sepanjang tempoh perlaksanaan PKP,” katanya.

Pada 5 April lalu, Abang Johari mengumumkan pihaknya meluluskan peruntukan berjumlah RM16.4 juta untuk membekalkan makanan asas kepada golongan sasaran yang memerlukan di seluruh Sarawak termasuk kawasan pedalaman.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 1:46 PM