BAHAGIAN tulang belakang kucing malang patah selepas dipercayai ditetak dengan pisau pemotong daging. FOTO Erika George.
BAHAGIAN tulang belakang kucing malang patah selepas dipercayai ditetak dengan pisau pemotong daging. FOTO Erika George.
Erika George


LELAKI berusia 57 tahun berhadapan hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan menetak seekor kucing jirannya di kawasan perumahan di Jalan Tun Hussein Onn, Bintulu, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, seorang penduduk melihat tindakan lelaki itu dan menghubungi seorang sukarelawan haiwan bagi membawa kucing malang itu ke klinik untuk rawatan.

“Hasil maklumat, suspek kemudiannya ditahan polis pada 7 malam hari kejadian untuk siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Zulkipli berkata, pemilik kucing terbabit yang juga wanita berusia 34 tahun mengaku bahawa kucing peliharaannya itu terlepas ketika dia membasuh sangkarnya pada Ahad lalu.

Katanya, wanita itu berpendapat kucing peliharaannya itu masih hidup apabila seorang rakannya menunjukkan video tular di media sosial pada Selasa, yang dia percaya adalah kucing peliharaannya.

“Pisau pemotong daging yang digunakannya turut dirampas sebagai bahan bukti.

“Dia disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana khianat terhadap haiwan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau keduanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 2:41 PM