TERTUDUH diiringi polis ke Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
TERTUDUH diiringi polis ke Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


PEMANDU van dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan lima sebatan di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berumur 16 tahun, Mac lalu.

Hukuman diputuskan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas tertuduh, Kuah Hamid, 56, mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Dalam penghakimannya, Awang Kerisnada berkata, perbuatan tertuduh adalah jenayah dirancang kerana tindakan yang secara sedar memberi mangsa minuman yang mengandungi bahan terlarang.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah bilik penginapan di Jalan Bakau, Tawau pada 5.30 petang, 5 Mac 2020.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang tinggal sekampung dengan mangsa diamanahkan oleh ibu mangsa untuk menghantar serta membawanya ke tempat kerjanya di pusat bandar.

Bagaimanapun, pada hari kejadian, selepas selesai bekerja, mangsa yang menaiki van tertuduh untuk pulang ke rumah telah dibawa ke sebuah bilik penginapan.

Mangsa didakwa diberi minum air mineral yang kemudiannya menyebabkan dia separuh sedar terhadap perlakuan tertuduh ke atasnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana mencabul amanah dan kepercayaan diberikan ibu mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh ditahan pada 3 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 2:56 PM