ROSITA masak dan sedekah makanan untuk pengawal keselamatan sekolahnya. FOTO Ihsan Pembaca
ROSITA masak dan sedekah makanan untuk pengawal keselamatan sekolahnya. FOTO Ihsan Pembaca
Mahaizura Abd Malik


MEREKA tiada pertalian darah, namun atas dasar kemanusiaan Rosita Ismail, 48, setiap hari sanggup menyediakan makanan percuma kepada dua pengawal keselamatan sekolah tempat dia mengajar.

Guru matematik sebuah sekolah rendah di Putrajaya itu berkata, inisiatif turut disokong suaminya selepas menyedari kesulitan dua pengawal keselamatan berkenaan mendapatkan makanan murah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sebelum PKP pengawal keselamatan terbabit membeli makanan di kantin sekolah pada harga murah, namun sejak PKP mereka menghadapi kesulitan membeli di restoran kerana bergaji kecil.

“Luluh hati saya bila dapat tahu mereka berjimat cermat sampai makan biskut dan simpan nasi lebihan makanan tengah hari untuk makan malam.

“Jadi memahami kesulitan dialami mereka itulah membuatkan saya tawarkan diri masak dan beri makanan percuma kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Rosita berkata, setiap hari pengawal terbabit datang mengambil makanan di rumahnya yang terletak tidak jauh dari kawasan sekolah.

“Pada mulanya, mereka menolak kerana malu tetapi selepas saya yakinkan niat saya mahu berkongsi rezeki mereka akhirnya menerimanya.

“Saya akan masak lebih, apa saja lauk kami sekeluarga makan, mereka pasti dapat merasa makanan sama.

“Setiap hari saya akan bekalkan mereka makanan tengah hari dan sedikit kuih-muih untuk minuman petang,” katanya.

ANTARA makanan dimasak Rosita untuk pengawal keselamatan sekolahnya. FOTO Ihsan Pembaca
ANTARA makanan dimasak Rosita untuk pengawal keselamatan sekolahnya. FOTO Ihsan Pembaca

Menurutnya, dirinya senang hati dapat meringankan beban dua pengawal rakyat tempatan yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu.

“Saya difahamkan, keluarga mereka jauh, seorang di Sabah manakala rakannya itu dari Kedah.

“Sepanjang mengenali, mereka tidak pernah mengambil kesempatan dan rajin membantu guru sekolah kami.

“Jadi, apabila tahu mereka dalam kesusahan mungkin inilah masanya untuk saya balas kebaikan mereka selama ini, sambil mengumpul pahala untuk diri sendiri,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 3:26 PM