KERETA dinaiki, Datuk Rosol Wahid remuk selepas melanggar lembu di LPT2 berhampiran jalan susur Bukit Besi awal pagi tadi. FOTO Ihsan Pejabat Parlimen Hulu Terengganu.
KERETA dinaiki, Datuk Rosol Wahid remuk selepas melanggar lembu di LPT2 berhampiran jalan susur Bukit Besi awal pagi tadi. FOTO Ihsan Pejabat Parlimen Hulu Terengganu.
Baharom Bakar


TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Bukit Besi di Dungun hari ini.

Kemalangan itu dilaporkan berlaku ketika Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu dan rombongannya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke kediamannya di Ajil, Kuala Berang kira-kira 1 pagi tadi.

Bagaimanapun, Rosol dan pengawal peribadi serta pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Rosol mengakui ternampak seperti seekor lembu warna putih di atas jalan menyebabkan pemandu memperlahankan kereta rasmi dinaikinya itu.

“Pemandu saya cuba memperlahankan kenderaan tetapi haiwan terbabit secara tiba-tiba melompat dan rempuh kereta kami.

“Haiwan berkenaan mungkin terkejut dan terus lari ke arah kereta selepas ternampak lampu kenderaan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Rosol menjelaskan, beliau dan rombongan berlepas dari Putrajaya kira-kira 10 malam untuk menghadiri mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu di Wisma Darul Iman (WDI) hari ini.

“Saya kemudiannya bersama pengawal peribadi dan pemandu balik ke rumah dengan menumpang kereta pegawai yang mengekori kenderaan saya, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 3:29 PM