ADRAM (kiri) menyerahkan sumbangan bantuan kecemasan Covid-19 untuk Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) kepada Presiden KAWAT, Khairul Azlam. FOTO Ihsan KAWAT
ADRAM (kiri) menyerahkan sumbangan bantuan kecemasan Covid-19 untuk Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) kepada Presiden KAWAT, Khairul Azlam. FOTO Ihsan KAWAT
Ahmad Rabiul Zulkifli


KERAJAAN negeri menyerahkan peruntukan sebanyak RM10,000 bantuan kecemasan Covid-19 kepada Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) untuk diagihkan kepada ahlinya yang bertugas sebagai wartawan sambilan di negeri itu.

Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu ( KAWAT ) Khairul Azlam Mohamad berkata, seperti anggota keselamatan dan petugas Jabatan Kesihatan di hospital dan klinik, warga media seperti wartawan dan jurugambar di lapangan juga adalah sebahagian petugas di barisan hadapan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, KAWAT berterima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan terhadap nasib sebahagian pengamal media yang memerlukan.

“Sebenarnya, warga media seperti wartawan dan jurugambar di lapangan juga sebahagian daripada petugas barisan hadapan tetapi malangnya kerap kali terlepas pandang oleh semua pihak.

“Wartawan dan petugas media antara yang berisiko dan berkemungkinan terdedah dengan jangkitan Covid-19 yang berbahaya itu.

“Pengorbanan warga media terutama yang bertugas di lapangan sepatutnya turut dihargai,” katanya ketika ditemui di majlis Penyerahan Bantuan Kecemasan Covid-19 kepada KAWAT di Kuala Terengganu hari ini.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Adram Musa mewakili kerajaan negeri menyerahkan sumbangan kepada Khairul Azlam.

Menurut Khairul Azlam, KAWAT berterima kasih kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang sentiasa prihatin dan menghargai jasa pengamal media di negeri itu.

“Sumbangan ini akan diagihkan kepada wartawan sambilan yang tidak mempunyai gaji tetap dan terjejas kerana PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 3:31 PM