DATUK Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DATUK Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Noor Atiqah Sulaiman


SEBANYAK 46.6 peratus dari 168,182 individu yang bekerja sendiri hilang pekerjaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peratusan itu diperoleh menerusi responden berumur 15 tahun keatas yang menyertai Survei Khas Kesan Covid-19 terhadap Ekonomi dan Individu (Pusingan 1) yang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) secara atas talian bermula 23 hingga 31 Mac 2020 yang lalu.

"Berdasarkan survei, hampir separuh, iaitu 46.6 peratus responden yang bekerja sendiri menyatakan kehilangan pekerjaan dan dianggarkan 9 daripada 10 responden yang masih bekerja mengalami pengurangan pendapatan daripada biasa.

"Dari segi simpanan kewangan, lebih daripada dua per tiga atau 71.4 peratus responden yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi bagi tempoh kurang daripada satu bulan.

"Selain itu, hanya 6.2 peratus responden menyatakan kurang terkesan berbanding 52.6 peratus responden yang menyatakan sangat terkesan dari segi kewangan. Tempoh bekerja turut mempengaruhi simpanan kewangan di mana sebanyak 69.7 peratus yang bekerja dalam tempoh kurang daripada satu tahun menyatakan simpanan kewangannya bertahan kurang daripada sebulan," katanya menerusi kenyataan semalam.

Mohd Uzir berkata, bagi responden yang bekerja antara 21 hingga 30 tahun pula sebanyak 11.7 peratus mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga 4 bulan.

"Majoriti responden menyatakan tidak bersedia sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan kecuali pekerja di Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC).

"Dapatan survei khas ini menunjukkan sektor Pertanian dan Perkhidmatan mencatat peratusan kehilangan pekerjaan yang lebih tinggi berbanding sektor lain kesan daripada penularan Covid-19, masing-masing sebanyak 21.9 peratus dan 15.0 peratus.

"Bagi sektor pertanian, 33 peratus pekerja di sub sektor Perikanan melaporkan kehilangan pekerjaan berbanding di sektor pertanian dan perladangan sebanyak 21.1 peratus.

"Sektor Perkhidmatan dan iaitu pekerja di sub sektor Perkhidmatan Makanan dan Minuman pula sebanyak 35.4 peratus hilang pekerjaan diikuti sektor Pengangkutan dan Penyimpanan dengan 18.7 peratus dilaporkan.

Beliau berkata, diharapkan dengan adanya survei ini ia dapat membantu kerajaan dan penduduk Malaysia dalam menangani kesan Covid-19 terhadap ekonomi dan pekerjaan.

"Analisis yang dikongsikan adalah berdasarkan kepada responden yang menyertai survei khas ini dan ia tidak mewakili pandangan seluruh rakyat Malaysia. Ia harus ditafsir secara berhati-hati bagi menilai kesan Covid-19 di Malaysia dan ia bukanlah statistik rasmi.

"Namun, ia boleh digunakan untuk menyokong dalam memberi gambaran mengenaisituasi semasa." katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 3:53 PM