Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang meninggal dunia di luar negara akibat Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia tiada halangan membawa pulang rakyat negara ini yang meninggal dunia di luar negara namun SOP negara luar itu perlu dipatuhi.

Menurutnya, kerajaan mengesahkan tiada rakyat Malaysia di luar negara yang dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19 setakat ini.

“KKM akan keluar SOP bagaimana nak bawa pulang dan kita kena patuh SOP negara berkaitan kerana membabitkan dua pihak.

“KKM benarkan bawa balik jenazah tetapi kita tertakluk dengan undang-undang negara lain (untuk bawa pulang jenazah balik ke Malaysia),” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

ISMAIL Sabri pada sidang media harian PKPB di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri pada sidang media harian PKPB di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama

Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli sudah mengagihkan Bantuan Bakul Makanan kepada Orang Asli sejak PKP dikuatkuasakan.

Ismail berkata, bantuan fasa pertama dari 2 hingga 10 April lalu diagihkan kepada 49,670 ketua isi rumah di 853 perkampungan bernilai RM5 juta.

“Bantuan fasa kedua akan bermula 10 April dengan penambahan penerima kepada 55,000 ketua isi rumah membabitkan peruntukan RM6 juta dengan penambahan keluarga yang berpindah randah dan tinggal di kampung tambahan,” katanya.

Ismail juga mengingatkan orang ramai khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan agar berhubung dengan ketua masyarakat di peringkat kampung dan daerah untuk mendapatkan bantuan agihan makanan.


Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat daerah akan menyelesaikan masalah yang timbul dalam kalangan penduduk.

“Jika ada masalah, boleh mengadu kepada pemimpin setempat di kampung atau daerah dan membolehkan masalah ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 4:04 PM