FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

TERTUDUH dalam kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain akan menyambung keterangan membela diri mereka di Mahkamah Tinggi di sini pada 16 April ini.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memberitahu prosiding membela diri oleh tertuduh dalam kes itu di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah sepatutnya bersambung esok dan 13 April .

"Esok tarikh sambung bicara dan 13 April, tetapi masih dalam MCO (Perintah Kawalan Pergerakan) juga. Oleh itu tarikh berikutnya pada 16 April dan 21 hingga 23 April ini," katanya menerusi pesanan WhatsApp.

Pada prosiding 28 Februari lalu, tiga tertuduh memberi keterangan iaitu Muhammad Hasif Ismail (tertuduh ketujuh), Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany (tertuduh kesembilan) dan tertuduh ke-10, Mohamad Syazwan Musa.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 4:11 PM